Thursday, 14 November 2019 02:53

KARNIVAL ‘MY KAMPUNG’ SEMPENA PESTA MENUAI PAYA SETAJAM, ROMPIN

Rate this item
(0 votes)

Segala puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, PKZ Rompin dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin dan MPKK Kg Setajam telah berjaya mengadakan program Karnival ‘My Kampung’ pada 8-10 November 2019 yang lalu.

Pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan permainan dan pameran antaranya, pertandingan menangkap ikan, bola baling bendang, pertandingan badang beras, permainan dam dan banyak lagi.

Selain itu juga, diadakan perkhidmatan kaunter agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Kesihatan Tg.Gemok, pemeriksaan motosikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kaunter Amanah Saham Nasional, Ar Rahnu YAPIEM, Tabung Haji, AGRO Bank dan lain-lain lagi.

Turut diadakan juga Ceramah Perdana sempena Maulidur Rasul yang disampaikan oleh YBhg Dr Ahmad Irfan bin Ikmal Hisyam, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang dan Kuliah Dhuha Muslimat oleh Ustazah Fatin Nur Azrin binti Omar, Pegawai Dakwah PKZ Pahang.

Program yang berlangsung di Dewan Baru Kg. Setajam ini telah dirasmikan oleh YH Dato Haji Halidan Bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang. Menurut Dato’ Haji Halidan, “Karnival ini diadakan untuk mengeratkan hubungan PKZ dengan masyarakat setempat khususnya golongan pesawah dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini berkaitan zakat khususnya zakat tanaman padi.

Penganjuran karnival ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada komuniti setempat malah turut menjadi sinergi kepada Kg.Setajam untuk menjadi kampung yang mengekalkan tradisi lama ini. Alhamdulillah diharapkan semoga program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat”.

Hadir sama ialah Pengarah IADA Rompin, Encik Faizul Bin Miran, Penghulu Mukim Endau, Encik Mohd Zulkifli Bin Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Pesta Menuai Paya Setajam, Encik Mohd Rawi. PKZ Pahang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak IADA Rompin, Penghulu Mukim Endau, Pengerusi MPKK Kg Setajam, Pengerusi Masjid Tg Gemok YH Dato Haji Rusli, MUIP Cawangan Rompin dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tiga hari ini.

Tegaknya Islam kerana syariat
Solat dan Zakat kembaran rapat
Program My Karnival sangat bermanfaat
Semua agensi memberi khidmat

Disediakan oleh
Mohd Farid bin Mohd Ramly
Penyelia PKZ Rompin

Read 124 times
© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG