Monday, 20 January 2020 02:27

SEPULUH BADAN KORPORAT MENUNAIKAN ZAKAT LEBIH 9.4 JUTA

Rate this item
(0 votes)

KUANTAN, 15 Januari 2020 – Sepuluh badan korporat telah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2019 berjumlah RM9,447,117.68 kepada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertempat di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, Kuantan.

Badan korporat tersebut ialah FGV Holdings Berhad (FGV) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif FGV Palm Industries Sdn Bhd, Encik Abdul Malik bin Sekak bagi menyerahkan zakat sebanyak RM2,124,974.00 manakala Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJTM) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif LJTM, Tuan Haji Sr. Ismail bin Harun menyerahkan zakat sebanyak dua (2) juta ringgit.

Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) pula diwakili oleh Timbalan Pengerusinya, YH Dato’ Hajjah Nazilah binti Abd Latif dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diwakili oleh Ketua Pegawai Retail TNB, Tuan Haji Ir. Megat Jalaluddin bin Megat Hassan, masing-masing menyerahkan zakat sebanyak RM1,325,596.34 dan RM1,033,125.06. RISDA pula diwakili oleh Pengerusinya, Tuan Haji Rosely bin Kusip menyerahkan zakat sebanyak RM876,303.28 manakala Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) diwakili oleh Ahli Jawatankuasa Syariah BPMB, YBrs. Penolong Professor Dr. Miszairi bin Sitiris menyerahkan zakat sebanyak tujuh (7) ratus ribu ringgit.

Far East Holdings Berhad (Far East) diwakili oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, YH Dato’ Sri Kamaruddin bin Mohammed menyerahkan zakat sebanyak enam (6) ratus ribu ringgit manakala Felcra Berhad Berhad Wilayah Pahang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Kewangannya, Encik Mohamed Ismi bin Abdul Majid menyerahkan zakat sebanyak RM435,937.00. Manakala Telekom Malaysia Berhad (Telekom) diwakili oleh Pengurus Pembangunan Bisnes Telekom Pahang, Encik Mazlan bin Ali dan Radicare Group of Companies (Radicare) diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangannya, Puan Faridah Hanum binti Abdul Ghafar, masing-masing menyerahkan zakat sebanyak RM207,480.00 dan RM143,702.00 sahaja.

Majlis penyerahan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi oleh YAM Tengku Panglima Raja Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama-sama Setiausaha Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussin. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud serta para pegawai daripada badan-badan korporat serta kakitangan PKZ Pahang yang terlibat.

Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada semua badan korporat yang terlibat kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan mereka sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.

Read 178 times
© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG