Monday, 02 November 2020 06:58

GRAB DAN ZAKAT JALIN KERJASAMA PERMUDAH URUSAN BAYARAN ZAKAT PEMANDU DAN PENGHANTAR

Rate this item
(0 votes)

KUANTAN, 28 Oktober 2020 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menjadi negeri pertama di pantai timur yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab bagi memudahkan urusan pembayaran zakat pemandu dan penghantar mereka.

Jalinan kerjasama tersebut diadakan di dalam Majlis Pelancaran Sinergi Grab & Zakat di Perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang dihadiri kira-kira 100 orang tetamu dan jemputan.

Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, YH Dato Haji Halidan bin Md Daud berkata, kerjasama ini memberi pilihan kepada pemandu atau penghantar makanan menunaikan zakat setiap kali menerima penumpang atau tempahan yang mana bayaran zakat ditolak secara automatik daripada upah yang diterima oleh mereka. Kaedah ini dapat memastikan setiap upah yang diperoleh pemandu atau penghantar adalah bersih.

Pengurus Wilayah Timur Grab Malaysia, YBhg. Encik Azraie Azahari berkata, usaha sama itu dijalinkan dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, dan merupakan yang ketiga selepas agensi serupa di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Beliau berharap usaha Grab memudahkan urusan pembayaran zakat oleh pemandu dan penghantarnya juga diharapkan menjadi tarikan kepada pengguna untuk memilih perkhidmatan mereka. 

Majlis ini juga turut menyampaikan cenderahati kepada para pemandu dan penghantar Grab yang telah bersetuju untuk menggunakan kemudahan yang disediakan melalui kerjasama ini. Acara kemuncak majlis ini diakhiri dengan flag off GrabCar dan GrabFood yang disertai oleh 20 pemandu dan penghantar bersama-sama kenderaan masing-masing.

Read 125 times
© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG