Wednesday, 29 September 2021 07:11

MAJLIS PERKONGSIAN OPERASI ZAKAT DAN PELANCARAN RESIT DIGITAL BAYARAN ZAKAT

Rate this item
(1 Vote)

KUANTAN, 29 September 2021 - Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah mengorak langkah dalam menghadapi transformasi digital di era moden ini dengan memperkenalkan resit secara digital bagi semua urusan pembayaran zakat.

Satu majlis Pelancaran Resit Digital Dan Perkongsian Operasi Zakat telah diadakan secara maya dan telah dihadiri oleh 100 orang tetamu terdiri daripada pegawai-pegawai dari agensi agama dalam negeri Pahang.

Taklimat Operasi Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Cabaran Kutipan Zakat Di Era Pandamik Covid-19’. 

Manakala pengisian operasi agihan zakat telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Ali bin Mat Dasir, Pengarah Bahagian Pengurusan Dan Pembangunan Islam Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Polisi Dan Strategi Agihan Zakat Di Negeri Pahang’

Majlis ini telah disempurnakan oleh YAM Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PKZ Pahang.

Menurut YAM Tengku Panglima Raja,

 “PKZ telah melaksanakan penggunaan resit digital bagi semua urusan pembayaran zakat sama ada pembayaran di kaunter, atas talian atau secara potongan gaji. Resit digital ini turut mempunyai ciri keselamatan tersendiri bagi mengelak daripada dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab, antaranya penggunaan QR Code dan cetakan no siri khas”. 

YAM Tengku juga berharap ianya menjadi titik permulaan kepada meluasnya urusan umat Islam supaya menggunakan kemudahan ICT secara menyeluruh.

Majlis pelancaran tersebut telah dihadiri oleh Mufti Kerajaan Negeri Pahang SS Dato’ Sri Dr Abdul Rahman bin Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Pahang Encik Khairuddin bin Ismail dan Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Pahang(LHDN), Encik Chakngari@Yusof bin Daud.

Pihak PKZ Pahang merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada YAM Tengku Panglima Raja atas kesudian melancarkan pelaksanaan penggunaan resit digital dan berharap dengan penggunaan resit digital ini dapat memudahkan lagi urusan ibadah zakat umat islam di Negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Bahagian Korporat PKZ Pahang

Read 94 times
© 2021 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG