Monday, 15 November 2021 08:50

TIGA PEMBAYAR PAHANG MENERIMA ANUGERAH ZAKAT KEBANGSAAN 2021

Rate this item
(0 votes)
KUALA LUMPUR, 09 November 2021 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada syarikat Pascorp Paper Sdn Bhd, Koperasi Serbaguna Dara Bhd dan Harqis Empire Sdn Bhd di atas penerimaan Anugerah Zakat Kebangsaan 2021 sempena sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2021. Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2021 yang dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) secara maya yang bertemakan “Zakat Prihatin: Muzakki Cakna, Asnaf Merasa” merupakan acara tahunan JAWHAR.
 
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir dalam majlis tersebut, YBhg Dato’ Jamil bin Rakon Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jbatan Perdana Menteri (JPM), YBhg Datuk Mohammad bin Ismail Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan JPM, YBhg Dato’ Dr Sollehudin bin Alyubi Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Dan Pembangunan JPM serta  YBhg Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat Dan Haji (JAWHAR). 
Buat julung kalinya Pusat Kutipan Zakat Pahang yang telah membolot semua tiga kategori anugerah pembayar zakat terbaik melalui tiga pembayar korporat yang mewakili Pahang. Pascorp Paper industries Berhad telah memenangi kategori pembayar Syarikat GLC Terbaik, manakala Koperasi Serbaguna Dara Berhad telah memenangi kategori pembayar Syarikat Awam Berhad Terbaik  dan Harqis Empire Sdn Bhd pula telah menggondol bagi kategori pembayar Syarikat Sdn Bhd Terbaik. 
Kriteria pemilihan pemenang yang diambil kira adalah berdasarkan komitmen membayar zakat, pengurusan organisasi yang Islamik dan keterlibatan dalam aktivit kemasyarakatan. Untuk makluman, ketiga-tiga syarikat merupakan syarikat yang istiqomah menunaikan zakat perniagaan masing-masing kepada Pusat Kutipan Zakat Majlis Ugama Dan adat Resam Melayu Pahang saban tahun. 
Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada  ketiga-tiga syarikat terbabit kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan  sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.
 
“TUNAI ZAKAT, REZEKI BERKAT”
Disediakan oleh,
Ahmad Fauzi bin Mansor
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
Read 62 times
© 2021 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG