Wednesday, 29 August 2018 07:38

PELANCARAN PORTAL E-TAKSIR

Rate this item
(1 Vote)

Kuantan – 16 Ogos 2018.  Pihak Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) terus mengorak langkah dalam mewajibkan taksiran zakat sebagai pendekatan bagi meningkatkan dana zakat dengan melancarkan portal e-Taksir untuk kemudahan umat Islam di Pahang khususnya kakitangan awam, badan-badan berkanun dan swasta membuat taksiran zakat pendapatan secara atas talian dan menghantarnya secara pantas dan mudah.

Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur Kuantan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Wan Hassan dan turut dihadiri oleh Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Shamsulbahri bin Haji Ibrahim.

Bertepatan dengan tujuan majlis tersebut diadakan, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud turut menekankan bahawa kakitangan yang gagal membuat taksiran sehingga Disember tahun ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang berkaitan Seksyen 24 dan Seksyen 40. Majikan juga diingatkan supaya mengemukakan senarai nama kakitangan kepada PKZ yang sama sekali tidak menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi (ADPD) 2010 iaitu Akta 709.

Majlis tersebut juga turut diserikan dengan tayangan video kempen ‘Moh Berzakat’ dan ‘Tutorial E-Taksir’ yang menjelaskan tentang penggunaan portal e-Taksir dengan lebih informatif dan mesra pengguna.

Dalam majlis yang sama, Timbalan Yang DiPertua MUIP juga turut membenarkan polisi pemulangan sebahagian bayaran zakat di Pahang bagi tiga (3) kategori tertentu dengan maksimum rebat tiga puluh (30) peratus bermula tahun ini. Namun demikian, agihan hendaklah diberikan kepada asnaf di Pahang sahaja dan senarai asnaf perlu diserahkan kepada PKZ Pahang untuk semakan. “Walau bagaimanapun, kebenaran untuk mengagihkan asnaf di luar Pahang boleh dipohon daripada pihak MUIP dan syarat lain akan dikeluarkan oleh PKZ MUIP dalam masa terdekat,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan majlis

Read 117 times
© 2018 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG