Friday, 14 September 2018 05:59

PENGURUS BESAR KANAN PKZ PAHANG MENERIMA ANUGERAH MAAL HIJRAH 1440H Featured

Rate this item
(1 Vote)

KUANTAN, 11 September 2018 bersamaan 1 Muharram 1440 ;

Sempena dengan program sambutan Maal Hijrah tahun 1440H/2018M peringkat negeri Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Yang Hormat Dato’ Haji Halidan bin Md. Daud telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Kakitangan (Kategori Inovasi Kerajaan, Swasta, Ngo, Badan Berkanun & IPT).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah mencemar duli berkenan mengurniakan anugerah itu kepada YH Dato’ Haji Halidan bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1440H/2018M. Turut hadir, Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan , Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

YH Dato’ Haji Halidan 60, yang juga Pengerusi Rumah Anak Yatim Permata Camar dan Pengerusi Mobile Musalla Nadwah Islamiah membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, pingat serta sijil penghargaan.

Bapa kepada lapan anak itu turut menyandang pelbagai jawatan di peringkat masyarakat seperti Pengerusi Badan Khairat dan Kebajikan Bukit Sekilau, Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Agama al-Irsyad Kuantan, Timbalan Pengerusi Pusat Dialisis Islam Makmur, Jawatankuasa Kemajuan Kg Bukit Sekilau dan lain-lain jawatan lagi yang dijadikan sebagai medium untuk beliau menyumbang tenaga dan idea pemikiran memartabatkan agama Islam dan ummah.

Ketika ditemui selepas majlis berkenaan, YH Dato’ berkata, “Sebenarnya anugerah diterimanya itu hasil kerjasama dan sumbangan kakitangan Pusat Kutipan Zakat dan rakan-rakan dalam persatuan @ NGO yang turut bersama-sama menyumbang ke arah mempertabatkan agama Islam. Saya berazam dengan anugerah ini akan terus membakar semangat saya untuk meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan dan amal islami bagi menegakkan syiar Islam’.

 Semoga dengan penerimaan anugerah ini akan dapat memartabatkan lagi pengurusan urusan zakat di persada masyakarakat negeri Pahang.

Read 137 times
© 2018 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG