ZAKAT PENDAPATAN

Definisi

Harta perolehan atau di dalam bahasa Arabnya disebut Al-Mal al-Mustafad secara umumnya bermaksud apa jua usaha atau pekerjaan yang mendatangkan hasil kepada pengusahanya yang dibenarkan oleh syarak.

KATEGORI AL-MAL AL MUSTAFAD

HARTA PENDAPATAN, GAJI DAN UPAH

Segala pendapatan yang diperoleh seseorang daripada majikannya hasil daripada usaha atau pekerjaan yang dilakukan untuk majikannya sama ada semasa berkhidmat, selepas berkhidmat atau selepas kematiannya (pencen terbitan).

Contoh; Gaji, Upah, Bonus, Pencen, Insentif, Gratuiti, Dan Lain-lain

HARTA HASIL PEKERJAAN BEBAS

Segala pendapatan yang diperoleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukan atas usaha sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan professional.

Contoh; Doktor, Peguam, Kontraktor, Komisen, Arkitek, Royalti Hakcipta, Dan Lain-lain.

HARTA HASIL ASET TETAP

Harta yang tetap induknya tetapi boleh berkembang dengan mendatangkan pendapatan melalui sewaan atau jualan hasilnya.

Contoh; Hasil sewaan rumah, kenderaan, Hasil ladang getah, Hasil ladang sawit, Hasil pertanian selain padi, Hasil ternakan seperti telur, susu, Dan Lain-lain.

FATWA-FATWA YANG BERKAITAN

Berhubung dengan kewajipan menunaikan Zakat Pendapatan, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang telah memutuskan bahawa:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Darul Makmur (Ogos 2018 warta 12 Mac 2020) telah menambahbaik kepada keputusan terdahulu memutuskan bahawa:

  1. Bersetuju bahawa hukum Zakat al Mal al Mustafad adalah Wajib
  2. Takrif Zakat al Mal al Mustafad ialah:
    a. Harta Penggajian Dan Upah Kerja
    b. Harta Hasil Bebas
    c. Harta Al Mustaghallat
  3. Bersetuju kaedah pengiraan Zakat al Mal al Mustafad adalah berdasarkan kepada Had al Kifayah.

Kaedah kiraan

Kaedah kiraan zakat pendapatan pada asasnya adalah berdasarkan jumlah pendapatan kasar dari semua sumber pendapatan yang halal dalam setahun selepas dibuat tolakan Had Kifayah* seterusnya didarab dengan 2.5%

Had al-Kifayah

secara umumnya adalah kadar (keupayaan ekonomi) yang selayaknya bagi menjamin kelangsungan kehidupan seorang individu serta mereka yang di dalam tanggungannya. Ia bukan sekadar penentuan had minimum semata-mata tetapi ia menjangkaui persoalan tahap yang selayaknya bagi memastikan kelangsungan kehidupan seseorang serta tanggungannya.

KATEGORI HAD KIFAYAH

Bagi negeri Pahang, kategori had kifayah terbahagi kepada 6 kategori seperti berikut:

  1. Ketua Keluarga
    Pencari nafkah yang utama seperti bapa atau suami, isteri sekiranya suami tidak lagi berupaya, ibu tunggal dan anak yang bekerja sekiranya ibubapa tidak berupaya.
  2. Pasangan Bekerja
    Pencari nafkah kedua/sampingan seperti isteri. (Ibu atau bapa kepada anak yang menjadi ketua keluarga).
  3. Pasangan Tidak Bekerja
    Isteri yang tidak bekerja atau suami yang tidak berupaya iaitu tidak memiliki punca pendapatan disebabkan halangan yang berpanjangan seperti sakit kronik, cacat fizikal dan mental, cedera anggota badan yang menyebabkan tidak boleh bekerja.
  4. Anak 0-6 tahun
    Bersekolah serta dalam penjagaan dan pendidikan diuruskan oleh pihak lain.
    Tidak bersekolah serta mempunyai urusan penjagaan domestik.
  5. Anak 7 tahun keatas
    Bersekolah dan masih menerima pendidikan lanjutan. Tidak bersekolah dan tidak mempunyai pendapatan.
  6. Anak 18 tahun ke atas (Pendidikan Lanjutan)
    Anak yang menerima pendidikan lanjutan dan tidak mempunyai pendapatan contohnya: Belajar di IPTA/IPTS/Institusi kemahiran dan sebagainya.
Item Had Kifayah bagi negeri Pahang adalah seperti berikut