QADA’ ZAKAT

Zakat membersihkan dan menyucikan harta. Ianya merupakan tuntutan Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang telah mencapai syarat-syarat.

Zakat harta terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu :

  • Zakat Emas Dan Perak
  • Zakat Tanaman Padi
  • Zakat Ternakan
  • Zakat Perniagaan
  • Zakat Maadin Dan Rikaz
  • Zakat Wang Simpanan
  • Zakat Saham
  • Zakat Pendapatan

jika individu atau syarikat yang mencukupi syarat wajib menunaikan zakat, layak menunaikan zakat pada tahun-tahun yang lalu dan belum melunaskan semua zakat yang wajib bagi tahun yang lalu, maka zakat itu wajib diqada’.

Qada’ dalam konteks ibadah ialah setiap amalan fardu (seperti puasa, solat dan zakat) yang ditinggalkan wajib diqada’ sama ada disebabkan lupa, sengaja meninggalkannya atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.

Daripada segi istilah fuqaha, qada’ ialah sesuatu (ibadah) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qada’ atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah atau yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.

Qada zakat bermaksud, menunaikan zakat yang wajib ditunaikan pada masa yang telah lalu; namun gagal ditunaikan oleh kerana lupa, sengaja meninggalkanya atau atas apa-apa alasan lain sehingga berlalu haulnya (setahun), maka ia wajib ditunaikan segera.

Hukum

Hukum qada zakat adalah wajib dan berdosa jika sengaja diabaikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam Hambali dan Imam Syafie:

“Ketika penunaian zakat itu dapat dilakukan dengan segera, maka orang yang mengakhirkan penunaiannya dianggap ceroboh (kepada kewajipan berzakat), sehingga dia mesti bertanggung jawab terhadap pencerobohan yang dilakukan.”

Rujuk Al-Mughni, Jilid 2, halaman 686 dan Al-Majmu’, Jilid 5, halaman 302

Hikmah Qada’ Zakat

  • Membersihkan harta yang masih belum dibayar zakatnya daripada bercampur dengan harta yang telah dibayar zakat.
  • Menunaikan hak-hak Allah SWT keatas harta tersebut.
  • Memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa kepada si pembayar zakat kerana telah suci hartanya daripada hak-hak orang lain.
  • Menghindari dari membebani waris yang ditinggalkan apabila berlaku kematian, memandangan harta yang belum dizakatkan menjadi satu kewajipan pula kepada waris untuk ditunaikan
  • Mengelakkan waris memakan harta yang haram, iaitu apabila waris gagal mengenalpasti harta yang belum dizakatkan dan mereka membahagikannya pula sebagai pusaka. Ia juga menjadi jaminan mendapat pahala dan habuan syurga daripada Allah S.W.T serta menjauhkan diri daripada dosa kerana kelalaian diri sendiri di dunia.

Cara Menunaikan Zakat

  • Qada’ zakat adalah berdasarkan kepada nisab ketika haul yang terdahulu.
  • Pembayaran qada’ zakat ini boleh dibuat secara ansuran atau mengikut kemampuan.
  • Pembayaran zakat ini juga boleh dibuat sama ada dengan mengunjungi cawangan zakat di seluruh Pahang atau kaedah lain iaitu membuat pembayaran melalui potongan gaji, ejen bank, internet dan lain-lain kaedah yang disediakan oleh PKZP.

“Sesungguhnya berjayalah orang yang (setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya.”Surah al-A’la 87:14

© 2018 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG