Wednesday, 17 October 2018 03:13

Apakah Wajib Taksir?

'Wajib Taksir Zakat Pendapatan' adalah satu arahan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang supaya semua umat Islam di negeri Pahang yang mempunyai sumber pendapatan membuat taksiran zakat.

Arahan ini bermula dengan taksiran zakat pendapatan bagi umat Islam yang mempunyai pendapatan yang tetap. Umat Islam dikehendaki memberikan maklumat pendapatan masing-masing melalui borang yang disediakan bagi dibuat taksiran zakat

Apakah peruntukan Undang-undang dalam menguatkuasakan Arahan Wajib Taksir Zakat?

Arahan Wajib Taksir Zakat Pendapatan ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang

a) Seksyen 24 - Enggan memberi taksiran pendapatan

b) Seksyen 40 - Tidak membayar zakat atau fitrah

Apakah kaitan di antara 'Wajib Taksir Zakat' dan 'Wajib Membayar Zakat'?

Wajib Taksir Zakat dan Wajib Membayar Zakat adalah dua perkara yang berbeza dari sudut undang-undang sebagaimana yang disebut di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013.

Wajib Taksir Zakat adalah untuk setiap individu mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing bagi tujuan dibuat taksiran zakat. Sekiranya seseorang diminta oleh Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang supaya mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing, dan individu tersebut gagal atau enggan memberikan maka ia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24 enakmen tersebut.

Wajib Membayar Zakat pula adalah apabila seseorang telah dibuat kiraan zakat dan didapati mencukupi syarat wajib membayar zakat tetapi enggan atau sengaja tidak membayar zakat, maka individu tersebut telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 40 enakmen tersebut.

Published in soalan lazim

Pertama

Memberikan maklumat mengenai kakitangan atau pekerja masing-masing untuk tujuan penghantaran maklumat atau apa saja yang berkait dengan urusan zakat oleh Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang.

Sekiranya majikan tidak berbuat demikian maka ianya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 25(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Kedua

Majikan perlu menyediakan kemudahan kepada kakitangan atau pekerja bagi membuat bayaran zakat seperti dikehendaki oleh Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang.

Sekiranya majikan tidak berbuat demikian atau gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut maka ianya merupakan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Published in soalan lazim

Kewajipan individu dalam proses wajib taksir ini ada dua;

i) Individu dikehendaki mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing untuk dibuat taksiran. Sebaik sahaja mana-mana individu muslim mendapat permintaan daripada Majlis Ugama Islam Pahang atau Pusat Kutipan Zakat Pahang supaya memberikan maklumat pendapatannya, maka individu tersebut perlulah mengemukakan maklumat pendapatan yang sebenarnya kepada MUIP atau PKZ mengikut kaedah yang ditetapkan.

Jika individu berkenaan tidak memberikan maklumat atau memberikan maklumat yang palsu maka, ianya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang

ii) Mana-mana individu yang didapati wajib membayar zakat tetapi tidak membayarnya atau membayar kepada bukan Amil yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Pahang, maka ianya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang.

Published in soalan lazim
Thursday, 09 August 2018 03:22

PELANCARAN WAJIB TAKSIR ZAKAT PENDAPATAN

Kuantan – 10 April 2018.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melancarkan Pelaksanaan Wajib Taksir Zakat Pendapatan bagi menggalakkan kira-kira 40,000 kakitangan awam dan swasta menunaikan tanggungjawab berzakat.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Wan Hassan di Hotel Grand Darul Makmur Kuantan. Turut sama hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, YH Dato’ Ahmad Hairi Bin Husin.

Wan Abdul Wahid berkata, pelancaran bertujuan membantu meningkatkan sumber perolehan MUIP untuk memoptimakan pengagihan bantuan kepada asnaf yang memerlukan.

"Pada tahun 2017, Pusat Kutipan Zakat Pahang(PKZ) mengutip RM47.3 juta dengan 57,329 pembayar zakat pendapatan yang ibuat melalui potongan gaji, membabitkan kakitangan awam, badan berkanun dan swasta.

"Kita anggarkan 40,000 lagi pembayar zakat pendapatan tampil menunaikan zakat sehingga hujung tahun ini.

"PKZ Pahang mengumpul data pekerja di negeri ini dan menghantar borang taksiran kepada pekerja yang belum membayar zakat untuk dikembalikan antara Julai hingga Oktober tahun ini.

"Kita menjangka dapat mengutip antara RM5 juta hingga RM10 juta lagi yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan ekonomi umat Islam di negeri ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Abdul Wahid berharap lebih ramai majikan memberi peluang kepada petugas PKZ memberi penerangan kepada pekerja mereka mengenai kepentingan berzakat dan kelebihan yang mereka peroleh apabila menunaikan tuntutan agama ini.

Sempena majlis itu juga, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud turut membentangkan taklimat khas mengenai proses Pelaksanaan Wajib Taksir Zakat Pendapatan kepada para jemputan yang terdiri daripada Bahagian Sumber Manusia 46 majikan terpilih.

PKZ turut menghargai para majikan yang telah memberi sokongan terbaik kepada pihak PKZ Pahang dalam menyampaikan kempen dakwah zakat dengan tiga (3) kategori anugerah iaitu Anugerah Bilangan PZB Terbaik, Amaun PZB Tertinggi dan Kerjasama Terbaik yang melibatkan sejumlah 14 majikan terpilih berdasarkan rekod pembayaran zakat melalui potongan gaji tahun 2017.

“ POTONG ZAKAT, LEBIH BERKAT LEBIH TERJAMIN’

Published in berita
© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG