Di dalam Fath al-Aziz oleh Al-Rafiie (5/502) berdasarkan pandangan yang sahih dalam Mazhab Imam al-Syafie zakat hutang wajib dikeluarkan oleh pemiutang setiap kali mencukupi haul walaupun si penghutang belum melunaskan hutangnya. Kadar zakat yang dikenakan adalah untuk tempoh selama hutang itu berada di tangan penghutang.

Ini adalah berdasarkan kepada athar yang kuat dari para sahabat khasnya dari para Khulafa al-Rasyidin iaitu Umar. Uthman dan Ali r.anhum dan berdasarkan pandangan yang lebih berjaga-jaga (ihtiyat) kerana menurut Syaikh Muhammad Al-Amin al-Syanqiti bahawasanya permaslahan zakat hutang ini tiada sebarang nas di dalam al-Quran dan al-Sunnah mahupun Ijmak. (Adwa al-Bayan 2/141) Justeru membayar zakat baginya adalah lebih awla.

Zakat emas jongkong mahupun syiling yang dimilki untuk diperniagakan samada dalam bentuk pelaburan dan seumpamanya adalah dianggap tertakluk kepada zakat. Dalam hal ini emas jongkong dan syiling yang diperniagakan atau dimasukkan dalam pelan pelaburan adalah dianggap sebagai urudh al- tijarah (harta atau barang yang diniagakan)

Jika nisabnya tidak mencukupi, maka ia perlu disertakan atau disekalikan dengan harta perniagaan yang lain ataupun dengan simpanan lain yang dimiliki pemilik emas tersebut. Sekiranya cukup nisab, maka layak emas tersebut dizakatkan sebanyak 2.5% dari nilainya setelah ditukar kepada nilaian dalam matawang negara.

Kesimpulannya jika tidak cukup nisab, maka emas tersebut perlu dimasukkan bersama kiraan harta lain seperti simpanan yang sedia ada bagi menentukan nilai zakat yang dikenakan. Sekiranya cukup nisab, kesemua harta tersebut boleh dizakatkan sekali walaupun kiraan dibuat berasingan. (Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah 3/36)

Zakat hanya diwajibkan kepada nilai berat emas yang ada pada perhiasan itu sahaja. Adapun segala tatah berlian, batu permata dan sebagainya tidak dikenakan zakat padanya.

Ini jika pemilikan bersifat kegunaan individu. Adapun jika ianya diniagakan atau dijadikan barangan niaga atau perdagangan, maka hendaklah ditaksirkan kesemua nilai pemilikan tersebut dengan nilai matawang dan dizakatkan sebanyak 2.5%.

Emas Pakai
wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut melebihi uruf (nilai kebiasaan pemakaian setempat). Kadar Uruf bagi negeri Pahang ialah 500 gram. Kadar zakatnya adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan nilai emas tersebut.

Emas Simpan
wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut menyamai atau melebihi 85 gram / 25 mayam. Kadar zakatnya ialah 2.5% atas nilai keseluruhan emas tersebut.

Page 1 of 2
© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG