Wednesday, 14 April 2021 23:50

YAB MENTERI BESAR PAHANG MELANCARKAN APLIKASI BIZZAKAT

Rate this item
(0 votes)

Kuantan – 31 Mac 2021,  Pihak Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) terus mengorak langkah dalam mengadaptasikan penggunaan aplikasi teknologi maklumat dalam urusan kempen zakat dengan melancarkan aplikasi terbaharu  yang diberi nama “ BizZakat”.

BizZakat adalah direktori yang mengumpulkan semua pembayar zakat perniagaan di negeri Pahang dan usahawan asnaf di dalam satu plaform.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aplikasi direktori BizZakat ini turut mempunyai keunikan tersendiri di mana barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja halal tetapi ianya ditawarkan oleh pembayar zakat di negeri Pahang.

“Produk unik yang ada di Negeri Pahang seperti gula kabong, gulai asam rong, gulai asam tempoyak dan masakan ikan patin turut ditawarkan dan boleh didapati dalam aplikasi BizZakat dengan mudah,” katanya ketika merasmikan aplikasi ini secara atas talian dari Bilik Mesyuarat MMK Wisma Sri Pahang hari ini.

Kerajaan Pahang juga percaya BizZakat dapat membantu sektor pelancongan contohnya pelancong-pelancong yang ingin mendapatkan barangan, penginapan atau perkhidmatan ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha BizZakat dengan mudah boleh mendapatkannya menerusi aplikasi ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, Datuk Bandar Kuantan YH Dato’Hamdan Hussin dan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud dan wakil-wakil jabatan berkaitan para peniaga.

Sementara itu, Pengurus Besar PKZ, YH Dato’Haji Halidan Md Daud berkata, “Aplikasi BizZakat kini mempunyai keahlian seramai 2,584 ahli iaitu lebih daripada separuh jumlah daripada pembayar zakat perniagaan di negeri ini. Beliau berkeyakinan ahli Bizzakat akan meningkat dalam masa terdekat apabila apabila petugas PKZ dapat melengkapkan maklumat para peniaga untuk dimasukkan ke dalam Bizzakat”.

“Antara objektifnya adalah membantu mempromosikan perniagaan pembayar zakat secara percuma dan untuk para pembeli membeli barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh ahlinya. Di samping itu,ahli-ahli BizZakat juga terdiri daripada usahawan-usahawan asnaf yang telah mendapat bantuan zakat seperti modal atau peralatan yang telah disediakan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)”.

Pihak PKZ Pahang merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri kerana sudi melancarkan Aplikasi BizZakat dan berharap supaya  aplikasi BizZakat dapat memberi manfaat kepada masyarakat di Negeri Pahang amnya.

Disediakan oleh,

HAJI CHE SAMSOL BIN IBRAHIM

Bahagian Perhubungan Awam

Read 852 times