Jumhur ulama bersependapat bahawa zakat diwajibkan bagi harta perniagaan. Antara dalil syarak adalah seperti berikut:
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (surah al-Baqarah 267)
Berdasarkan Tafsir al-Tobari, ayat ini memberi maksud, “Berzakatlah kamu daripada usaha kamu yang baik dengan menjalankan perniagaan atau pembuatan daripada emas dan perak.”
Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan, sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.